Program Zon

Di bawah seliaan pejabat Ketua Penyelaras Pentadbiran Zon, enam pejabat zon Yayasan Sabah iaitu Zon Pantai Barat Selatan (Kota Kinabalu), Zon Pantai Barat Utara (Kota Marudu), Zon Pantai Timur Selatan (Tawau), Zon Pantai Timur Utara (Sandakan), Zon Pedalaman Selatan (Beaufort) dan Zon Pedalaman Utara (Keningau) melaksanakan program teras dan sokongan.

Program teras terdiri daripada Intelek dan Minda, Sosiobudaya dan Sosioekonomi. Program sokongan termasuk Skim Bantuan Khas Yayasan Sabah (SBK), Skim Bantuan Menengah Yayasan Sabah, Asrama Daerah Yayasan Sabah, Majlis Berbuka Puasa, program Komuniti Kraf, program Bantuan Prasarana Komuniti dan bantuan bencana (Mangsa Kebakaran Rumah/Banjir).

PROGRAM TERAS

Program Intelek dan Minda

Program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan motivasi pelajar sekolah melalui seminar-seminar motivasi di samping menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak di sekolah.

Program ini juga diharap dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar terutamanya pelajar tahun lima dan enam di peringkat sekolah rendah dan pelajar tingkatan empat dan lima di peringkat sekolah menengah.

Program Sosiobudaya

Program-program yang dianjurkan bertujuan membentuk individu yang berfikiran positif, beretika dan bermoral tinggi serta mempunyai harga diri (self-esteem). Dalam konteks yang lebih luas, ini dapat membantu negara dalam mencapai status negara maju, bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal dan ekonomi tetapi juga dari aspek rohani dan psikologi.

Antara program-program yang dilaksanakan ialah gotong-royong (seperti membina rumah, jambatan, paip graviti dan perigi), karnival sukan, majlis berbuka puasa, kursus pengurusan jenazah, kempen derma darah, seminar perpaduan dan aktiviti keagamaan.

Program Sosioekonomi

Program-program yang dianjurkan bertujuan untuk mengembangkan bakat dan kemahiran dalam kalangan penduduk tempatan di Sabah ke arah pembangunan dan kemajuan sosioekonomi negeri ini secara menyeluruh. Ia merangkumi pembangunan modal insan yang luas termasuklah latihan kemahiran, kursus keusahawanan, pembangunan wanita dan belia.

Antara program yang dilaksanakan termasuk kursus bimbingan kraftangan, pembangunan usahawan belia dan wanita, projek kecil-kecilan pertanian, perikanan, akuakultur dan ternakan, program inap desa, kursus membuat kuih dan ban, kursus pembungkusan dan pemasaran atas talian.

PROGRAM SOKONGAN

Skim Bantuan Khas Yayasan Sabah (SBK)

SBK merupakan usaha Kumpulan Yayasan Sabah untuk menokok tambah usaha kerajaan dalam membantu mengurangkan beban keluarga pelajar daripada golongan B40 serta ibu bapa penerima bantuan e-kasih menerusi pemberian bantuan sokongan pembelajaran.

Skim Bantuan Menengah Yayasan Sabah (BMYS)

BMYS diberikan kepada pelajar di tingkatan satu hingga tingkatan enam atas terutamanya yang berpendapatan rendah. Melalui bantuan kewangan ini, Kumpulan Yayasan Sabah berharap dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa para pelajar dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik pelajar.

Asrama Daerah Yayasan Sabah

Asrama Daerah Yayasan Sabah menyediakan penginapan untuk pelajar-pelajar luar bandar yang tidak berkemampuan dan meningkatkan mutu kemudahan pembelajaran di Sabah. Penyediaan asrama ini dapat mengurangkan bebanan keluarga yang kurang mampu. Setakat ini terdapat dua buah asrama yang disediakan iaitu asrama daerah Sipitang dan asrama daerah Keningau.

Majlis Berbuka Puasa bersama Masyarakat

Majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat merupakan sebahagian daripada program tahunan yang dilaksanakan di kampung-kampung terpilih di seluruh Sabah bagi mengeratkan silaturahim antara Pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah dan masyarakat setempat.

Program Komuniti Kraftangan (PKK)

Dilaksanakan melalui enam buah pejabat Zon Kumpulan Yayasan Sabah berdasarkan kemahiran dan sasaran masyarakat di kawasan setempat. PKK memberi penekanan kepada program pengukuhan, perkembangan dan peningkatan kumpulan sasar dalam kemahiran kraftangan. Selain itu, PKK secara in-situ diteruskan pelaksanaannya dengan menggunakan prasarana setempat agar dapat memaksimumkan penglibatan ramai pelatih dari seluruh Sabah.

Program Bantuan Prasarana Komuniti

Program kemasyarakatan yang dilaksanakan termasuk pembinaan/pembaikan rumah rakyat miskin PPR, jambatan/jeti dan paip graviti/perigi untuk meningkatkan kualiti hidup bagi golongan yang memerlukan, terutamanya komuniti luar bandar.

Program Bantuan Bencana Alam

Program bantuan bencana alam ini adalah bertujuan meringankan bebanan yang dihadapi oleh mangsa bencana alam.

Aktiviti

Sosial

  • Aktiviti Zon
  • Pembangunan Kapasiti
  • Pendidikan
  • Perkembangan Kanak-Kanak
  • Kolej Teknologi Yayasan Sabah
  • University College Sabah Foundation
  • Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens
  • Galeri Tun Mustapha
  • Penyelidikan Program-program Sosioekonomi
  • Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Komersial

  • Innoprise Corporation Sdn. Bhd.
  • Pelancongan
  • MICE
  • AgroPerladangan
  • Minyak, Gas & Tenaga
  • Bioteknologi dan Hortikultur
  • Perhutanan
  • Perikanan dan Industri Makanan
  • Pembangunan Hartanah
  • Perkilangan

Tanggungjawab Sosial Korporat

  • Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar
Hubungi Kami

+(60) 88 326300
+(60) 88 326424
ysinfo@ysnet.org.my
Menara Tun Mustapha
Kompleks Ibu Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah
Teluk Likas
Peti Surat 11623
88817 Kota Kinabalu
Sabah, MALAYSIA