Pelancongan
Shangri-La Tanjung Aru - Destinasi Peranginan Tropika Menakjubkan
Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, (Kumpulan Yayasan Sabah memegang 60 peratus ekuiti) merupakan pusat peranginan terkemuka yang bertaraf lima bintang terletak di kawasan 25 ekar dengan landskap taman dan teluk persendirian yang menghadap Laut China Selatan. Terletak 10 minit dari pusat bandar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, STAR menjadi tempat peranginan yang mewah, penuh tenang dengan keindahan tropika yang menakjubkan.
Nikmati pelbagai pilihan makanan yang mewah di enam restoran dan bar yang berbeza seperti Shang Palace, sebuah mahakarya kulinari Cina dan Coco Joe's Bar and Grill. Bagi mereka yang mengidamkan pelbagai hidangan makanan, Café TATU merupakan restoran kontemporari menampilkan sarapan pagi dan makan malam secara bufet berkonsepkan dapur terbuka. Selain itu, STAR turut menawarkan perkhidmatan untuk menyegarkan diri dan menikmati kesejukan di Cool Box Ice-Cream Bar Resort atau bersantai di Sunset Bar. Pengunjung juga boleh menikmati keindahan matahari terbenam di Kota Kinabalu, iaitu antara sunset tercantik di dunia sambil menikmati minuman dan keindahan pemandangan malam di Borneo Lounge and Bar.
Dimiliki dan dikendalikan secara ekslusif oleh pihak resort, STAR Marina merupakan pusat rekreasi air yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik. Dengan keistimewaan sebagai fasiliti persendirian yang diurus oleh pihak resort STAR Marina menawarkan pelbagai aktiviti sukan air seperti e-foiling, luncur jet, persiaran bot pisang, layar layang, dan pengalaman menakjubkan berjalan di dasar laut.
Selain menjadi lokasi riadah, resort ini turut berfungsi sebagai pintu masuk kepada pelbagai aktiviti pelayaran dan persiaran laut, membuka peluang kepada penerokaan maritim yang menyeronokkan. Terletak dalam kawasan resort, STAR Marina memudahkan akses kepada para tetamu ke pulau-pulau berdekatan untuk lawatan harian serta pelbagai aktiviti pantai yang menarik.
Resort ini menempatkan Clownfish Discovery Centre yang terdiri daripada tiga bahagian: tangki terumbu, tangki pembiakan dan tangki anak ikan. Pusat ini bertujuan untuk mendidik pelawat dan masyarakat setempat mengenai Ikan Clownfish dan pelbagai spesies hidupan laut yang menarik, serta ancaman yang dihadapi oleh hidupan laut di perairan tropika.
Terkenal sebagai spa yang mempesonakan di Kota Kinabalu, Chi The Spa menawarkan rawatan berdasarkan falsafah penyembuhan tradisional Asia. Nikmati perjalanan yang mempesonakan dan memanjakan diri di pulau spa persendirian resort. Setiap pengalaman yang anda nikmati akan dikelilingi oleh keindahan semula jadi yang menakjubkan. Oleh itu, apa tunggu lagi rancang percutian impian anda sekeluarga bermula di Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.shangri-la.com/kotakinabalu/tanjungaruresort/
BRL – Tempat Peranginan Bertaraf Lima Bintang
Borneo Rainforest Lodge (BRL) dimiliki dan diurus oleh Innoprise Jungle Lodge Sdn. Bhd. (IJL). Sepanjang tempoh operasinya, BRL yang terletak dalam Kawasan Konservasi Lembah Danum seluas 43,800 hektar di daerah Lahad Datu ini telah memenangi pelbagai anugerah.
BRL, sebuah hotel hijau bertaraf lima bintang yang diiktiraf dengan anugerah berprestij seperti Global Sustainable Tourism Council (GSTC) dan World Luxury Hotel Awards, menawarkan gabungan perkhidmatan hotel mewah dan keprihatinan terhadap alam sekitar. Untuk ke Lahad Datu, pesawat MASWings mengendalikan penerbangan dari Kota Kinabalu dengan tempoh penerbangan kira-kira satu jam manakala alternatif lain ialah melalui perjalanan darat dari Sandakan dan Tawau. Dari Lahad Datu, para tetamu akan meneruskan perjalanan selama dua jam setengah untuk tiba di Lodge.
BRL menawarkan pakej serba lengkap yang merangkumi pelbagai aktiviti mengikut tahap kecergasan dan minat para tetamu seperti merentas hutan, aktiviti berakit di sungai (river tubing), berjalan kaki pada waktu petang serta pemanduan malam (night drive). Selain itu, antara tarikan utama termasuk Laluan Kanopi yang memenangi pelbagai anugerah, tapak pengebumian lama Coffin Cliff, pemandangan panaroma yang memuka di Viewpoint serta air terjun mempesona di yang dikenali sebagai Fairy Fall.
Bagi individu yang mencari ketenangan, Jari Jari Spa yang telah meraih pelbagai anugerah menawarkan perkhidmatan atau rawatan Spa dengan menggunakan bahan semula jadi daripada buah-buahan, menjamin pengalaman yang bebas daripada bahan kimia.
Pengalaman di BRL sememangnya mempesonakan dengan keindahan alam semula jadi yang tiada ternilai, hutan dara yang kaya dengan flora dan fauna serta suasana yang nyaman dan menenangkan. Dengan bimbingan pemandu pelancong yang berpengalaman, pengunjung berpeluang untuk melihat tumbuhan dan haiwan-haiwan liar seperti Tupai Terbang Merah (Red Giant Flying Squirrels), Burung Enggang, Lotong Merah, Binturong, Kulat Bercahaya (Glow-in-the-Dark Fungus), Babi Janggut (Bearded pig), Rusa Sambar, Orangutan Borneo.
Komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurangan kesan terhadap alam semula jadi menjadi keutamaan di BRL. Antara amalan mesra alam yang dilaksanakan termasuk penggunaan produk bilik air yang terbiodegradasi, pengasingan sisa, dan sistem kompos dalaman untuk sisa organik. Selain itu, BRL turut aktif dalam inisiatif pendidikan hijau dengan menjalankan program kesedaran alam sekitar di sekolah-sekolah tempatan bagi memupuk amalan kitar semula, pemuliharaan, dan perlindungan ekosistem yang rapuh.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
https://www.borneonaturetours.com/borneorainforestlodge/
BORNEO NATURE TOURS
Borneo Nature Tours (BNT), sebagai pengendali pelancongan terkemuka yang pakar dalam program alam semula jadi dan pengembaraan di seluruh Sabah, menawarkan pengalaman luar biasa dalam menerokai kekayaan biodiversiti dan keindahan landskap yang memukau di rantau ini. Dengan pejabat yang terletak di Lahad Datu dan Kota Kinabalu, syarikat ini memastikan kelancaran operasi di pantai timur dan barat Sabah serta menjadikan setiap perjalanan satu pengalaman bermakna.
Sebagai agensi pemasaran eksklusif dan pengendali darat bagi pelancong ke Borneo Rainforest Lodge, BNT menawarkan lebih daripada sekadar pemandangan Lembah Danum. BNT turut menawarkan pelbagai pengembaraan dan lawatan menarik di Sabah seperti:
Pakej Blue Rings: Pengembaraan sekali dalam seumur hidup ini menawarkan peluang unik kepada para pelancong untuk menyaksikan fenomena alam semula jadi iaitu terumbu karang berbentuk cincin berkembar yang merupakan salah satu daripada hanya tiga kejadian seumpamanya di dunia. Terletak di perairaan jernih Sabah, fenomena ini merupakan pengalaman yang wajib disaksikan oleh pencinta alam semula jadi dan jurugambar.
Pakej Lawatan Gajah Pakej: Pakej ini memberi peluang eksklusif melihat Gajah Pigmi Borneo yang sukar ditemui di habitat semula jadinya di Tawau. Melalui pakej ini, para pelancong mempunyai peluang yang baik untuk mengamati gergasi ini dari jarak dekat ketika ia mengembara melalui hutan hijau di Sabah.
Sama ada anda mencari pengembaraan alam semula jadi, itinerari pelancongan yang eksklusif , atau percutian bulan madu yang romantik, BNT tetap komited untuk menyediakan perkhidmatan luar biasa. Dengan perhatian yang teliti terhadap setiap perincian, BNT memastikan setiap pengalaman bukan sahaja menjadi ingatan tetapi juga memberikan impak yang besar kepada para pelancong.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
https://www.borneonaturetours.com/
USUKAN COVE - Laluan Keajaiban Aktiviti Menyelam
Usukan Cove merupakan kawasan teluk di pantai Kota Belud berdekatan dengan Kuala Abai di mana terletaknya jeti ke Pulau Mantanani. Perjalanan ke lokasi ini hanya mengambil masa sejam setengah pemanduan dari Kota Kinabalu dengan pemandangan sawah padi, kawasan luar bandar dan Gunung Kinabalu yang megah.
Usukan Cove dianugerahkan dengan pelbagai tarikan alam semula jadi, kaya dengan batu karang dan hidupan marin, pantai berpasir putih serta air laut yang bersih memutih dan menenangkan.
Dengan persekitaran yang bersih dan tenang, Usukan Cove bukan sahaja merupakan destinasi percutian santai tetapi juga merupakan pintu masuk ke keajaiban aktiviti menyelam di Sabah.
Pulau Pandan Pandan terletak di sebalik kawasan Usukan Cove yang tenang dan sunyi. Perjalanan ke pulau ini hanya memakan masa selama 10 minit dengan menggunakan bot dari jeti Usukan Cove Lodge. Dengan kedudukannya yang terletak berhampiran daratan, pulau ini memikat hati para pengunjung dengan keindahannya. Dengan lokasi yang amat strategik, para pengunjung ke pulau milik persendirian ini dapat beriadah sambil menikmati pelbagai aktiviti sukan laut, berenang di laut tenang mahupun berehat di pantai berpasir putih.
Pulau Pandan Pandan menawarkan peluang kepada pengunjung untuk berehat di kawasan yang nyaman dan suasana bersifat peribadi. Pulau ini dikelilingi terumbu karang yang masih kekal dalam keadaan semula jadi. Pulau yang terletak hanya selemparan batu dari tanah besar ini menawarkan peluang kepada pengunjung untuk mengagumi kepelbagaian terumbu karang dan hidupan marin sambil melakukan aktiviti selam permukaan (snorkeling). Penyelam berpengalaman berpeluang menemui pelbagai spesies hidupan laut seperti ikan kerapu, sotong, anak barakuda dan ikan jerahak pengunjung mungkin berpeluang melihat ikan lumba-lumba atau penyu. Tanah besar yang tidak berpenghuni berhampiran menyediakan peluang kepada pengunjung untuk meneroka pantai-pantai yang kekal asli dan terpelihara.
Bagi penggemar aktiviti menyelam yang berminat untuk menikmati keindahan Pulau Pandan Pandan, syarikat milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah, Inno Travel & Tour Services Sdn. Bhd. (ITTS) menjalankan lawatan harian ke pulau ini.
Sebagai salah sebuah pemain utama dalam industri pelancongan di Sabah yang menyediakan rangkaian perkhidmatan di bawah jenama 'SABAH HOLIDAYS,' ITTS mengendalikan pangkalan pelayaran sungai di bawah jenama Le Cruise De Kota Belud di Kg. Tamau, Kota Belud. Perkhidmatan ini dapat menampung sehingga 100 orang sehari untuk perjalanan pelayaran tersebut. Le Cruise De Kota Belud mempamerkan tanah lembap Kota Belud. Di sini anda boleh menemui salah satu ikon negeri Sabah, iaitu Monyet Belanda. Pelayaran ini bermula di sepanjang Sungai Tempasuk di mana pelawat disambut oleh pemandangan megah Gunung Kinabalu. Sejurus selepas itu, pelawat akan melihat sekumpulan Monyet Belanda yang bergayut dari pokok ke pokok di sepanjang sungai itu. Untuk pengalaman yang lebih istimewa, jangan lupa untuk membawa teropong anda untuk melihat pemandangan yang mengasyikkan ini.
Panorama kampung di sepanjang pelayaran juga akan turut membuat anda terpesona. Dalam pelayaran selanjutnya, satu lagi pemandangan dramatik menanti iaitu suasana apabila masuk masa matahari terbenam. Jika bernasib baik, lawatan anda akan menjadi lebih seronok biarpun hujan renyai-renyai kerana pelangi yang tersergam indah akan muncul di kaki langit. Untuk pelayaran kedua melalui Sungai Nanamun, pengalaman melihat lampu-lampu berkelipan yang dihasilkan oleh Kunang-Kunang bakal menerangi perjalanan dan membuatkan anda terpesona.
Dalam perkembangan yang menggembirakan, Usukan Cove Lodge telah menambah sepuluh unit kabin baharu. Setiap kabin dilengkapi dengan beranda peribadi yang membolehkan tetamu menikmati pemandangan menakjubkan Usukan Cove yang dikelilingi oleh gunung-ganang dan laut pantai yang jernih bak kristal.
Kabin yang baharu dibina ini menawarkan peluang unik kepada tetamu untuk menyaksikan keindahan matahari terbit dan terbenam. Selain itu, tetamu juga dapat menikmati derusan angin laut sepoi-sepoi dari beranda mereka, menjadikan pengalaman manis tersebut kekal dalam ingatan.
Kabin baharu ini menandakan satu perkembangan yang menarik di Usukan Cove Lodge, seterusnya akan meningkatkan daya tarikan Kota Belud sebagai destinasi pelancongan terkemuka.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.sabahholidays.com