Pengenalan
Yayasan Sabah, kini secara operasinya dirujuk sebagai Kumpulan Yayasan Sabah telah ditubuhkan melalui Enakmen No. 8, Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun 1966. Tokoh di sebalik penubuhan Yayasan Sabah ialah Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun, Bapa Kemerdekaan Negeri Sabah yang mana wawasan beliau adalah untuk menggalakkan kesedaran Malaysia dalam kalangan rakyat di negeri Sabah. Objektif penubuhan Yayasan Sabah adalah untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk rakyat Malaysia di Sabah; mewujudkan peluang untuk pengagihan kekayaan ekonomi yang lebih saksama dalam kalangan rakyat negeri Sabah dan menyediakan bantuan kepada institusi kebajikan dan mangsa-mangsa bencana alam.

Sejak awal, Kumpulan Yayasan Sabah mempelbagaikan aktivitinya demi memenuhi keperluan masa kini di samping memelihara hutan di bawah jagaannya dengan baik. Daripada penglibatan awal dalam aktiviti pembalakan pada tahun 1970-an dan kemudiannya beralih ke pemprosesan hiliran kayu, Kumpulan Yayasan Sabah menceburi industri perladangan agro, hospitaliti dan pelancongan; bioteknologi dan hortikultur; dan pembangunan hartanah.

Dalam sedekad yang lalu, bagi memenuhi permintaan global dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar, Kumpulan Yayasan Sabah menceburi industri minyak dan gas. Dengan visi memajukan ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi, sejak awal 2020 Kumpulan menerokai industri Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) melalui Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (Sabah International Convention Centre, SICC).

Setelah hampir 60 tahun penubuhannya, Kumpulan Yayasan Sabah telah berkembang maju dalam mencapai objektifnya untuk menyediakan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar yang memerlukan dan juga bagi pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.

Kumpulan Yayasan Sabah telah menyediakan dana pelancaran untuk Institut Teknologi MARA di Sembulan, Kota Kinabalu pada tahun 1973, yang kini menempatkan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS). Selain itu, Kumpulan Yayasan Sabah juga berbangga kerana telah memberikan dana pelancaran untuk kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia Sabah di Limauan, Kinarut pada tahun 1974. Pada tahun 1995, Kumpulan Yayasan Sabah telah membina sebuah kampus untuk kegunaan sementara Universiti Malaysia Sabah di Likas, bersebelahan dengan Menara Tun Mustapha. Penubuhan University College Sabah Foundation (UCSF) pada tahun 2013 merupakan satu lagi kejayaan Kumpulan Yayasan Sabah dalam mengembangkan peranannya dalam bidang pendidikan. Dijenamakan sebagai Universiti Hijau, UCSF berpegang kepada prinsip di mana generasi akan datang perlu bergantung kepada pemahaman yang mendalam mengenai isu-isu berkaitan yang kita hadapi pada hari ini bagi mendapat petunjuk ke arah kehidupan lestari.

Sejak tahun 2005, program Pejabat-pejabat Zon merangkumi program teras dan program sokongan. Program teras terbahagi kepada Program Intelek dan Minda, Program Sosiobudaya dan Program Sosioekonomi. Program sokongan terdiri daripada Skim Bantuan Khas, Program Biasiswa Menengah Yayasan Sabah, Asrama Daerah Yayasan Sabah, Majlis Berbuka Puasa, Program Latihan Kraftangan Program Bantuan Prasarana Komuniti dan Bantuan Bencana Alam (Mangsa kebakaran/banjir).

Sebagai penggalak pemuliharaan hutan, Kumpulan Yayasan Sabah memperuntukkan lima kawasan konservasi iaitu Lembah Danum, Lembangan Maliau, Kanyon Imbak, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas.

Di rantau Asia Tenggara, Kumpulan Yayasan Sabah mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis dalam pengurusan hutan mapan dan pemimpin dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan. Di samping itu, Kumpulan Yayasan Sabah juga dikenali di seluruh dunia sebagai pengeksport kultur tisu kayu jati yang berkualiti.

Kumpulan Yayasan Sabah sehingga kini kekal sebagai organisasi RAKYAT dan akan terus bergerak maju untuk menjadi antara yang terbaik.
Mengenai
  • Perutusan
  • Pengenalan
  • Struktur Korporat
  • Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah
  • Mantan-Mantan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah
  • Mantan-Mantan Pengarah Yayasan Sabah
  • Mantan-Mantan Timbalan Pengarah Yayasan Sabah
  • Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn. Bhd.
  • Mantan-Mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn. Bhd.
  • Barisan Pengurusan
  • Ketua Pegawai Maklumat (CIO)
  • Logo Korporat
  • Lagu Korporat
  • Menara Tun Mustapha
  • Visi / Misi
  • Objektif
  • Peranan
  • Fungsi
  • Nilai-Nilai Teras
  • Pencapaian
Hubungi Kami

+(60) 88 326300
+(60) 88 326424
ysinfo@ysnet.org.my
Menara Tun Mustapha
Kompleks Ibu Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah
Teluk Likas
Peti Surat 11623
88817 Kota Kinabalu
Sabah, MALAYSIA