Perhutanan
Selaras dengan penubuhannya, Kumpulan Yayasan Sabah telah diperuntukkan kawasan konsesi seluas kira-kira satu juta hektar dalam tempoh selama 100 tahun bagi mengurus pulangan secara mampan di bawah perjanjian
Sustainable Forest Management Licence Agreement (SFMLA) yang ditandatangani pada 1997 antara Kerajaan Negeri dan Yayasan Sabah. Dalam usaha mengurus kawasan tersebut, Kumpulan Yayasan Sabah sedar tentang kewajipannya untuk menjalankan program-progam sosial dan juga tanggungjawab terhadap alam sekitar demi keperluan generasi akan datang.
Ke arah usaha ini, Kumpulan Yayasan Sabah berusaha menguruskan kawasan tersebut secara bersepadu dan lestari demi faedah rakyat dalam jangka masa panjang. Oleh itu, amalan pengurusan hutan yang baik akan diteruskan selaras dengan dasar dan peraturan pembangunan hutan negeri dan kebangsaan yang telah dilaksanakan selama ini.
Rakyat Berjaya Sdn. Bhd. (RBJ), sebuah anak syarikat milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah sentiasa memastikan nilai ekonomi, sosial dan alam sekitar di kawasan hutannya mematuhi piawaian pensijilan hutan yang berkaitan seperti yang disarankan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.
Sebahagian besar kawasan konsesi hutan adalah diurus tadbir secara semula jadi (Natural Forest Management). RBJ menyumbang kepada bekalan kayu balak negeri Sabah dengan menuai kayu di kawasan konsesi hutan secara optimum berlandaskan garis panduan Reduce Impact Logging (RIL) yang dapat mengurangkan kerosakan pada dirian pokok yang lain, tanah dan kualiti air dengan lebih baik berbanding penuaian secara konvensional. Ini kerana hanya sebilangan pokok dengan diameter, ketinggian dan spesies tertentu dipilih untuk dituai. Perancangan yang teliti juga sentiasa diterapkan sebelum memulakan operasi penuaian bagi mengelakkan eksploitasi yang tidak sepatutnya.
Dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap hutan semula jadi sebagai sumber utama kayu balak, pengurusan RBJ telah memperuntukkan kawasan untuk pembangunan ladang hutan sebagai sumber penting kepada bekalan kayu balak yang mampan. Ini termasuk menetapkan kawasan untuk Perladangan Pokok Industri (ITP) dan Penanaman Mozek Bersepadu (IMP), Berbeza dengan hutan semula jadi, pembangunan ladang hutan memerlukan satu jumlah pelaburan yang besar, dasar pengurusan hutan yang kukuh serta komitmen yang sangat tinggi bagi menjamin keberhasilan dan pulangan jangka masa panjang. Sejak tahun 2012, lebih kurang 22,000 hektar atau sekitar 10 juta pokok telah ditanam di seluruh kawasan konsesi di bawah kerjasama strategik antara syarikat perladangan hutan yang terkenal. Kawasan perladangan hutan tersebut dijangka akan menghasilkan lebih kurang 1.6 juta meter padu kayu balak menjelang tahun 2026. Pelaksanaan pembangunan ladang hutan oleh RBJ adalah berdasarkan prinsip pengurusan hutan lestari seperti yang digariskan dalam Rancangan Pembangunan Sabah Maju Jaya (2021-2025) dan Dasar Hutan Sabah 2018.
Selain itu, di bawah kerjasama strategik dengan rakan-rakan kongsi ternama, RBJ kini terlibat dalam industri perladangan kelapa sawit di seluruh negeri Sabah. Oleh itu, RBJ kini merupakan anak syarikat terbaharu Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) yang terlibat dalam aktiviti penanaman kelapa sawit selain dua syarikat utama iaitu Sabah Softwoods Berhad dan Benta Wawasan Sdn. Bhd.
RBJ percaya bahawa salah satu langkah terbaik bagi menjamin kelangsungan sektor perhutanan di Sabah pada masa hadapan adalah melalui pemuliharaan hutan. Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut (KRCP) merupakan inisiatif komprehensif yang dibentuk dan dijalankan antara RBJ, Permian Malaysia Sdn. Bhd. (untuk makluman lanjut sila layari
permianglobal.com) dan Kerajaan Negeri Sabah yang mensasarkan penggunaan tanah secara mampan melalui pemuliharaan hutan secara semula jadi. KRCP telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan dinilai sebagai yang terbaik dalam kelasnya sebagai salah satu projek Improved Forest Management (IFM) dengan penarafan tertinggi peringkat dunia oleh agensi penarafan karbon iaitu BeZero Carbon.
Kawasan projek seluas kira-kira 83,381 hektar telah ditukar daripada Hutan Pengeluaran Kelas 2 kepada Hutan Simpan Kelas 1, sekali gus menetapkannya sebagai kawasan pemuliharaan yang dilindungi, lantas memanfaatkan pelbagai biodiversiti sama ada di dalam atau di sekitar kawasan tersebut. Dari segi perkhidmatan sosial pula, pihak pengurusan projek telah menjalankan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta mencipta peluang pekerjaan dan keusahawanan bagi komuniti setempat.
Melalui usaha pemuliharaan ini juga, dianggarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 20 juta tCO2e akan dapat dicapai dalam tempoh masa 30 tahun. Pengurangan ketara ini menyumbang secara langsung kepada usaha mitigasi perubahan iklim global. Usaha tersebut telah mendapat pensijilan serta pengiktirafan di peringkat global pada tahun 2024 yang lalu oleh badan piawaian karbon iaitu VERRA.
Industri perhutanan di Sabah adalah sangat relevan kerana terus menjadi salah satu penyumbang utama hasil kepada kerajaan negeri untuk pembangunan sosio-ekonomi. Oleh itu, RBJ komited dan akan terus berusaha bagi membangunkan industri perhutanan yang mampan dengan berlandaskan kewajipan dan nilai terhadap ekonomi, sosial dan alam sekitar.