Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar
Kumpulan Yayasan Sabah telah mengetepikan lima buah kawasan untuk tujuan konservasi iaitu Lembah Danum, Lembangan Maliau, Kanyon Imbak, Sungai Taliwas dan Pesisiran Pantai Silam bagi memastikan kelestarian kawasan hutan di bawah jagaannya. Kumpulan Yayasan Sabah bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa seperti The Royal Society of the United Kingdom (kini dikenali sebagai South East Asia Rainforest Research Partnership-SEARRP) dan Nordic Rainforest Research Network (NRRN), Nature Ecology and People Consult (NEPCon, Denmark), Swedish University of Agricultural Sciences (SUAS), New England Power (NEP) Company, USA, Danish Cooperation for Environment and Development (DANCED) dan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia dalam program penyelidikan, pendidikan serta latihan hutan hujan. Kumpulan Yayasan Sabah juga menjalankan program pemuliharaan hutan hujan tropika berskala besar di hutan yang rosak teruk dengan Face the Future di Belanda dan IKEA (Sow a Seed Foundation) di Sweden. Di dalam negara pula, Kumpulan Yayasan Sabah bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah, Muzium Sabah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Pusat Penyelidikan Hutan (FRC), Sepilok, Akademi Sains Malaysia (ASM), Sabah Environmental Trust (SET), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), University College Sabah Foundation (UCSF), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), PETRONAS, Shell Malaysia, Raleigh Malaysia dan organisasi-organisasi lain. Penyelidikan gunaan ke atas pengurusan sumber semula jadi dan konservasi kawasan yang dilindungi serta kawasan yang dipulihara telah banyak dijalankan, di samping penambahbaikan dan penggunaan tumbuh-tumbuhan. Selain daripada penyelidikan, kawasan konservasi ini juga merupakan medan untuk program latihan, pendidikan, serta kesedaran alam sekitar.- Rehabilitasi Hutan & Pemulihan Ekosistem
- Biodiversiti & Kawasan Perlindungan
- Rondaan (Penguatkuasaan & Pemantauan)
- Pendidikan Alam Sekitar
- Hospitaliti & Rekreasi
REHABILITASI HUTAN DAN PEMULIHAN EKOSISTEM
Kawasan seluas 25,874.5 hektar telah dipulihkan di bawah Projek Rehabilitasi Hutan Hujan Innoprise-FACE Foundation (INFAPRO) dan Projek Rehabilitasi Hutan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA). Kedua-dua projek ini menjadi model dalam rehabilitasi hutan di rantau ini. Projek ini juga memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan pengalaman serta pembangunanan kapasiti. Kedua-dua projek ini telah menerima akreditasi piawaian antarabangsa.PROJEK REHABILITASI HUTAN HUJAN INNOPRISE-FACE (INFAPRO) - Where the Apes Roam Free Projek Rehabilitasi Hutan Hujan Innoprise-FACE (INFAPRO) telah dimeterai pada tahun 1992 antara Rakyat Berjaya Sdn. Bhd., syarikat milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah dan Face the Future (Forests Absorbing Carbon Dioxide Emissions) Foundation, Belanda. Melalui memorandum persefahaman ini, projek tersebut bertujuan untuk menanam pokok sebagai agen penyerapan karbon dioksida daripada atmosfera. Projek ini bertujuan untuk memulihkan 25,000 hektar (daripada keseluruhan kawasan seluas 29,501 hektar) kawasan hutan yang terganggu dengan spesies dipterokarp, bukan dipterokarp dan spesies buah-buahan melalui penanaman pengayaan (enrichment planting) dan pemeliharaan regenerasi semula jadi yang sedia ada di hutan yang telah ditebang. FACE-the-Future juga turut membuat pelaburan yang besar dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan, latihan dan program pembangunan lain bagi mewujudkan teknik untuk aktiviti semaian dan kaedah penanaman yang sesuai. Terletak di Hutan Simpan Ulu Segama, di antara Kawasan Konservasi Lembah Danum di Lahad Datu, Sabah, projek INFAPRO telah berjaya memulihkan sebanyak 11,864.5 hektar (47.5 peratus) kawasan hutan melalui sembilan kontrak dari tahun 1992 hingga 2022. Kawasan ini memiliki kepelbagaian biodiversiti yang luar biasa, dengan hidupan liar seperti Gajah, Beruang Matahari Malaysia, Orangutan, Harimau Dahan, serta pelbagai spesies burung. Usaha pemulihan hutan di kawasan ini turut menyumbang kepada pemulihan sumber makanan bagi primat dan serangga, yang seterusnya menjadi sumber pemakanan penting untuk burung dan reptilia. INFAPRO telah diberi persijilan Voluntary Carbon Standards (VCS) pada 2011 oleh United Nation Intergovernmental Panel on Climate Change (UNIPCC) dan Forest Stewardship Council (FSC) pada 2012. INFAPRO merupakan projek hutan Pertanian, Perhutanan dan Penggunaan Tanah Lain (AFOLU) VCS yang pertama di Asia. Lebih daripada 15 laporan teknikal dan 35 penerbitan telah dihasilkan dengan sembilan kerja pasca sarjana dilengkapkan. Untuk maklumat lanjut mengenai INFAPRO, sila layari https://borneoforestheritage.org.my/infapro/
PROJEK REHABILITASI HUTAN TROPIKA INNOPRISE-IKEA (INIKEA) - The Healing Nature Projek Rehabilitasi Hutan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA) merupakan projek usahasama berikutan perjanjian antara Innoprise Corporation Sdn. Bhd., jentera pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah dan a Sow-A-Seed Foundation, Sweden pada tahun 1998. Objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan biodiversiti dan menyokong proses pemulihan hutan yang terdegradasi melalui rawatan silvikultur. Spesies pokok asli, khususnya dipterokarpa, bukan dipterokarpa, dan pokok buah-buahan liar, telah ditanam bagi memulihkan spesies yang hilang akibat pembalakan dan kebakaran yang berlaku pada tahun 1982 dan 1983. Projek ini kini berada di Fasa Keempat (2015-2025), yang bertujuan untuk memulihkan tambahan seluas 1,600 hektar dengan penekanan lebih kepada penyelidikan. Daripada 18,500 hektar, projek ini telah berjaya memulihkan lebih 14,010 hektar (75.7 peratus) kawasan hutan. Aktiviti yang sedang dijalankan merangkumi pemuliharaan kawasan tanaman, kerja-kerja merumput, penanaman semula, serta penyelenggaraan jalan raya. Kumpulan Yayasan Sabah bekerjasama rapat dengan Yayasan Sow-A-Seed dan Universiti Sains Pertanian Sweden (SLU) dalam melaksanakan projek ini. Pembiayaan projek dilakukan secara bersama oleh Yayasan Sow-A-Seed dan Kumpulan Yayasan Sabah, manakala SLU memberikan sokongan dari segi penyelidikan dan bantuan teknikal. Kumpulan Yayasan Sabah juga bertanggungjawab menguruskan segala operasi harian yang berkaitan dengan projek ini. Piawaian tinggi INIKEA terhadap pekerja, hak komuniti, dan keadaan kerja telah menarik perhatian juruaudit bebas dari Rainforest Alliance, Amerika Syarikat, ketika menilai prestasi projek di bawah Program Smartwood mereka. Projek ini juga telah mencapai satu lagi kejayaan apabila ia telah dianugerahkan Sijil IWAY oleh IKEA pada April 2007. Penganugerahan yang amat berprestij ini merupakan penganugerahan yang dinanti-nantikan oleh mana-mana rakan kongsi IKEA yang mencapai standard yang tinggi dalam aspek alam sekitar, perhutanan, dan keadaan kerja. Piawaian ini setara dengan Standard ISO 1400-1. Sejak 2005, 65 projek penyelidikan telah diluluskan dan dijalankan di INIKEA, manakala pada tahun 2023 sahaja, 81 aktiviti rondaan telah dijalankan di INIKEA. Pada tahun 2023, Kumpulan Yayasan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah telah menganjurkan Tinjauan Hidupan Liar dan Sumber INIKEA yang pertama. Tinjauan itu dijalankan untuk mengumpul data terkini tentang kelimpahan hidupan liar dan pengagihan sumber, menilai potensi ancaman seperti pemburuan haram, kebakaran hutan, serta kesan perubahan penggunaan tanah. Selain itu, tinjauan ini juga bertujuan mengenal pasti peluang untuk pembangunan pelancongan dan soalan penyelidikan utama bagi penerokaan masa hadapan. Di samping itu, input daripada tinjauan tersebut juga digunakan untuk merangka Pelan Pengurusan Strategik INIKEA. Usaha ini terbukti membuahkan hasil, kerana penampakan hidupan liar baru-baru ini, termasuk Orang Utan, Bornean Gibbon, Gajah Pigmi Borneo dan Burung Kenyalang, kembali ke hutan menunjukkan kejayaan projek tersebut dalam memulihkan hutan yang terdegradasi. Untuk maklumat lanjut mengenai INIKEA, sila layari https://borneoforestheritage.org.my/inikea/
BIODIVERSITI DAN KAWASAN PERLINDUNGAN
KAWASAN KONSERVASI LEMBAH DANUM - Borneo Wildlife Paradise Kawasan Konservasi Danum Valley (DVCA) adalah Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) dengan keluasan 43,800 hektar hutan tanah pamah dipteropkarpa yang tidak terganggu. Sebagai salah satu hutan hujan tanah pamah yang terbesar dan paling utuh di Asia Tenggara, ia secara meluas dianggap sebagai salah satu kawasan perlindungan yang paling penting di kawasan tropika Dunia Lama. Pusat Pembelajaran Danum Valley (DVSC), yang telah beroperasi sejak tahun 1986, terletak di pinggir kawasan pemuliharaan yang luas ini. Pusat ini berperanan sebagai pusat untuk penyelidikan, latihan, pendidikan alam sekitar, dan pelancongan alam semula jadi. Hutan hujan dara ini merupakan habitat kepada salah satu ekosistem yang terkaya dengan kepelbagaian biodiversiti di dunia, menjadikannya antara hutan yang paling penting dari segi ekologi di peringkat global. Para penyelidik telah merekodkan sekurang-kurangnya 121 spesies mamalia, termasuk primat yang jarang ditemui seperti Orangutan Borneodan Monyet Proboscis. Spesies mamalia lain yang terdapat di DVCA ialah Gajah Pigmi Borneo, Tembadau, Beruang Madu, Harimau Dahan, Kucing Merah, Binturong dan pelbagai spesies Rusa. Selain itu, sebanyak 338 spesies burung telah direkodkan, termasuk Takor Mahkota Merah, lapan spesies Burung Pacat (terutamanya Pitta nympha), serta kesemua lapan spesies Burung Enggang yang terdapat di Borneo. Hutan hujan ini turut menjadi habitat kepada kepelbagaian hidupan liar yang luar biasa, dengan 73 spesies ikan, 73 spesies reptilia, dan 56 spesies amfibia. Kepelbagaian tumbuhan di kawasan ini juga sangat mengagumkan, dengan 2,478 spesies telah dikenal pasti, termasuk sekurang-kurangnya 806 spesies pokok, 15 spesies orkid, dan tujuh spesies tumbuhan periuk kera. Aktiviti di DVCA diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum (DVMC), yang terdiri daripada beberapa buah jabatan/agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, institusi, ahli akademik dan badan-badan bukan kerajaan. Pada tahun 1984, DVMC menjalin kerjasama dengan The Royal Society of the United Kingdom untuk melaksanakan program penyelidikan jangka panjang di bawah Program Kerjasama Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (South East Asia Rainforest Research Partnership, SEARRP). Kerjasama ini turut menghasilkan Pelan Pengurusan Lembah Danum yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pengurusan Hutan Jangka Panjang (1984 – 2032). Kepelbagaian projek penyelidikan yang dijalankan ini menjadikan Lembah Danum sebagai salah sebuah daripada tiga buah pusat penyelidikan hutan hujan yang utama di dunia di samping La Selva di Costa Rica dan Pulau Barro Colorado di Panama. Sehingga 2023, sebanyak 662 projek penyelidikan telah siap atau sedang dijalankan di DVCA, di mana majoriti kajian ini ialah kolaborasi di antara saintis dari Malaysia dan luar negara. Projek-projek ini termasuk Pasca Kedoktoran (175), Doktor Falsafah (204), Sarjana (103), Sarjana Muda (46) dan lain-lain (101). Sepanjang 2023, 133 rondaan telah dijalankan dalam DVCA, terutamanya memfokuskan pada laluan biasa antara DVSC dan pintu pagar di KM55. Untuk maklumat lanjut mengenai DVCA, sila layari danumvalley.myKAWASAN KONSERVASI LEMBANGAN MALIAU - Enchanting Lost World of Borneo Kawasan Konservasi Lembangan Maliau (MBCA) juga dikenali sebagai Sabah's Lost World merupakan Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) dengan keluasan 58,840 hektar dan merupakan salah sebuah kawasan hutan belantara luar biasa di Malaysia dengan ciri-ciri alam semula jadi yang menakjubkan seperti air terjun tujuh-tingkat Maliau, air terjun Takob Akob dan Giluk yang indah di samping pelbagai air terjun lain yang mengagumkan. Terletak di selatan-tengah Sabah, kawasan ekosistem tersendiri ini disalirkan oleh Sungai Maliau yang mengalir dari gaung di kawasan tenggara lembangan tersebut dan seterusnya bertemu dengan Sungai Kuamut. Kawasan ekosistem ini akhirnya membentuk menjadi salah satu hulu Sungai Kinabatangan, yang merupakan laluan sungai terpenting di Sabah. Tasik Linumunsut ialah satu-satunya tasik bukan ladam semula jadi di Sabah terletak di dalam hutan dipterokarpa pamah, di luar dan di kaki cerun utara lembangan ini. Jenis hutan luar biasa di Lembangan Maliau termasuklah hutan pergunungan dan tanah pamah rendah serta hutan bukit dipterokarpa yang dipenuhi dengan pokok Agathis. Spesies flora di Maliau adalah tersendiri dan pelbagai termasuklah sekurang-kurangnya sepuluh spesies periuk kera, Rafflesia tengku-adlinii, Rhododendron dan lebih daripada 150 spesies orkid yang mana beberapa spesies pokok telah direkodkan buat pertama kalinya di Sabah termasuk orkid berbentuk kalung Coelogyne odoardi dan endemik kepada Borneo. MBCA merupakan khazanah yang berharga sebagai sumber botani. Lebih 1,800 spesies pokok telah ditemui termasuk 41 spesies pokok yang telah disenaraikan dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (The International Union for Conservation of Nature's Red List Threatened Species). MBSC ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk penyelidik, pengunjung serta staf lapangan Lembangan Maliau. Kemudahan penginapan asas termasuk stesen penyelidikan dan kem satelit, yang merangkumi kawasan perkhemahan hingga tapak kem tetap yang lengkap. Semua kemudahan ini terletak di dalam dan sekitar MBCA, di sepanjang laluan kembara Agathis, Nepenthes, Ginseng dan Belian yang saling dihubungkan oleh rangkaian laluan. Sejak 1998, IKEA of Sweden telah membiayai inisiatif pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar, yang membawa kepada penciptaan kompleks pendidikan alam sekitar yang merangkumi asrama, bilik darjah dengan kemudahan makmal, stesen penyelidikan, jambatan gantung, menara pemerhatian dan Maliau Skybridge, yang secara keseluruhannya meningkatkan program penyelidikan dan pendidikan tempatan. Selain itu, IKEA, Sweden juga membiayai program-program pendidikan alam sekitar untuk sekolah-sekolah di sekitar MBCA dari Keningau hingga Kalabakan. Keunikan dan kekayaan biodiversiti Lembangan Maliau, dikelilingi dengan zon penampan dan kemudahan yang lengkap menjadikan MBCA sebagai lokasi yang sesuai untuk program-program latihan untuk pengurusan kawasan perlindungan. Antara aktiviti penyelidikan di MBCA termasuk projek Stability of Altered Forest Ecosystems (SAFE), kerjasama antara Yayasan Sime Darby dan The Royal Society's South East Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP), dan aktiviti penyelidikan lain dengan kerjasama pelbagai institusi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS). Sehingga kini, lebih 436 projek penyelidikan telah disiapkan atau sedang dijalankan, terdiri daripada Pasca-Kedoktoran (67), Doktor Falsafah (100), Sarjana (114), Sarjana Muda (33), dan lain-lain (122). Penyelidikan meliputi pelbagai subjek seperti flora, fauna, iklim, hidrologi, fenologi, geomorfologi, dan komuniti. Sepanjang 2023, 208 aktiviti rondaan dan pengawasan telah dijalankan di MBCA untuk mengurus dan melindungi Kompleks Hutan Hujan Lembah Danum-Lembangan Maliau-Imbak Canyon (DaMaI). Komitmen ini menekankan kepentingan menjaga ekosistem ini untuk generasi akan datang. Pada tahun 2024, Kumpulan Yayasan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah telah menganjurkan Tinjauan Hidupan Liar dan Sumber Lembangan Maliau yang kedua. Tinjauan itu dijalankan untuk mengumpulkan data terkini tentang flora dan fauna di MBCA, meningkatkan strategi pemuliharaan yang berterusan. Di samping itu, input daripada tinjauan tersebut juga digunakan untuk mengemaskini Pelan Pengurusan Strategik MBCA yang ketiga.
KAWASAN KONSERVASI KANYON IMBAK - The Bornean Hidden Valley Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA), terletak di utara Lembangan Maliau, meliputi kawasan seluas 27,599 hektar Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan). Di bahagian utara kanyon, terbentang hamparan hutan tanah pamah yang menawan, dibuai oleh rangkulan rabung batu pasir yang mempunyai ketinggian melebihi 1,000 meter. Sementara itu, bahagian selatan dikuasai dengan kemegahan puncak Gunung Kuli yang berdiri bangga pada ketinggian 1,527 meter. ICCA mempunyai pelbagai jenis hutan. Antaranya, hutan pamah dipterokarpa dan hutan kerangas pergunungan rendah yang jarang ditemui, yang merupakan versi altitud lebih rendah berbanding hutan kerangas di Lembangan Maliau, bagaikan berada dalam dunia ajaib khusus dengan pepohon yang kecil, periuk kera dan pelbagai orkid. Kawasan ini kaya dengan flora dan fauna, termasuk tumbuhan ubatan. Kanyon Imbak merupakan kawasan penting bank gen untuk tujuan konservasi dan rehabilitasi hutan pada masa hadapan. Sebagai hutan asli, ICCA juga merupakan komponen penting dalam koridor biodiversiti yang menghubungkan Lembangan Maliau di selatan dan Lembah Danum di timur. Kawasan ini juga merupakan salah sebuah hulu sungai bagi sungai terpanjang di Sabah iaitu Sungai Kinabatangan. Kanyon Imbak berbeza dengan Lembah Danum dan Lembangan Maliau di mana terdapat masyarakat yang tinggal bersebelahan dengan kawasan ini dengan kampung terdekat iaitu Kg. Imbak terletak lebih kurang 30 kilometer dari ICCA. Majoriti masyarakat di sekitar ICCA merupakan daripada kumpulan etnik Sungai diikuti dengan Murut dan Rumanau. Pada 2009, ICCA dinaiktaraf sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) oleh Dewan Undangan Negeri Sabah. Pengurusan harian ICCA dilaksanakan oleh Kumpulan Yayasan Sabah bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Kanyon Imbak yang merangkumi Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan pelbagai agensi kerajaan. Jalinan kerjasama di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS yang bermula pada tahun 2010 bertujuan membangunkan kawasan ini sebagai pusat pembelajaran asas masyarakat setempat dalam pemuliharaan biodiversiti di samping sebagai pemuliharaan bank gen serta penerokaan potensi farmaseutikal dan bioteknologi. Melalui kolaborasi tersebut, lapan program dilaksanakan iaitu Pendidikan Alam Sekitar, Kesedaran Awam, Jalinan Komuniti, Penyelidikan, Kajian Etno Perhutanan dan Dokumentasi, Pengukuhan Keupayaan Kapasiti, formulasi Pelan Pengurusan Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang pertama dan pembinaan Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak. ICCA mempunyai kepelbagaian tumbuhan yang mengagumkan, dengan lebih daripada 796 spesies yang telah direkodkan. ICCA juga merupakan tempat perlindungan bagi 81 mamalia, termasuk spesies ikonik seperti Harimau Dahan, Kucing Batu, Kucing Dahan, Monyet Belanda dan Gajah Pigmi Borneo. Di samping itu terdapat 26 spesies haiwan yang tersenarai dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (The International Union for Conservation of Nature’s Red List Threatened Species) telah ditemui. ICCA juga merupakan habitat kepada 245 spesies burung. Koleksi ini merangkumi campuran spesies montane dan tanah pamah termasuk lima spesies burung endemik kepada Borneo, enam spesies Burung Pacat, kesemua lapan spesies Burung Enggang yang terdapat di Borneo dan 20 spesies Burung Sambar. Di samping itu, kawasan ini turut menyokong kepelbagaian ekosistem akuatik dengan 22 spesies ikan dan 155 spesies amfibia direkodkan. ICCA dibangunkan untuk tujuan bank gen di samping menjaga kualiti sistem sungai di negeri ini. Nilai biodiversiti hutan (terutama botani) atas tanah yang biasa dan ekologi tanah yang terhad juga merupakan antara kepentingan bagi melindungi ICCA. Ini digambarkan oleh penemuan spesies keruing, Dipterocarpus megacarpa pada tahun 1992. Sebanyak 86 kajian telah disiapkan dan sedang dilaksanakan di ICCA, merangkumi Pasca Kedoktoran (3), Doktor Falsafah (12), Sarjana (16), Sarjana Muda (37) dan lain-lain (18). Kajian ini meneroka pelbagai topik seperti flora, fauna, iklim, hidrologi, geomorfologi, dan komuniti. Sepanjang 2023, ICCA melaksanakan 39 aktiviti pemantauan dan rondaan untuk mengurus dan melindungi Kompleks Hutan Hujan Lembah Danum-Lembangan Maliau-Imbak Canyon (DaMaI). Komitmen ini menekankan kepentingan menjaga ekosistem ini untuk generasi akan datang. Pada tahun 2024, Kumpulan Yayasan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah telah menganjurkan Tinjauan Hidupan Liar dan Sumber Kanyon Imbak yang kedua. Tinjauan itu dijalankan untuk mengumpulkan data terkini tentang flora dan fauna di ICCA, meningkatkan strategi pemuliharaan yang berterusan. Di samping itu, input daripada tinjauan tersebut juga digunakan untuk mengemaskini Pelan Pengurusan Strategik ICCA. Untuk maklumat lanjut mengenai ICCA, sila layari https://imbakcanyon.my
KAWASAN KONSERVASI SUNGAI TALIWAS - A Refreshing and Rejuvenating Rainforest Eden Kawasan Konservasi Sungai Taliwas (TRCA), yang dahulunya dikenali sebagai Kem Taliwas oleh Jabatan Perhutanan Sabah, terletak kira-kira 36 kilometer dari pekan Lahad Datu, 24 kilometer dari barat Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam, dan 45 kilometer dari timur Kawasan Konservasi Lembah Danum. TRCA meliputi kawasan hutan yang luas, bermula dari Sungai Segama hingga ke Hutan Simpan Sapagaya yang berdekatan (termasuk Bukit Silam) dan Kawasan Hutan Belantara Kawag-Gibong (VJR) berhampiran pantai. Kawasan ini meliputi kawasan hutan ultramafik dan tanah pamah yang unik seluas 9,546 hektar. Pada pertengahan tahun 1970-an hingga 1980-an, sebahagian daripada kawasan dalam lingkungan TRCA telah dipulihkan sama ada dengan teknik agroperhutanan atau rawatan silvikultur melalui penggelangan dan tanaman mengaya oleh Jabatan Perhutanan Sabah sebelum pengurusannya diserahkan kepada Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun 1991. Hari ini, TRCA merupakan salah satu kawasan yang paling awal dirawat secara silvikultur dan diperkaya dengan hutan Dipterokarpa. Diuruskan oleh Kumpulan Yayasan Sabah untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, latihan, dan ekopelancongan, kawasan ini telah dinaik taraf sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) pada tahun 2012. Untuk menyokong inisiatif penyelidikan dan pendidikan, Kumpulan Yayasan Sabah telah menubuhkan Pusat Pembelajaran Sungai Taliwas (TRSC) sebagai pusat aktiviti di Taliwas. Pusat ini dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur dan kemudahan, termasuk nurseri dan arboretum pokok dipterokarpa. Aktiviti penyelidikan di TRSC telah diintegrasikan dengan inisiatif rekreasi dan ekopelancongan untuk mengoptimumkan penggunaan pusat ini. Air Terjun Taliwas yang mudah diakses, bersama Tasik Pandan yang indah dan tenang—sering dikunjungi oleh pelbagai spesies burung, mamalia, dan reptilia—menjadikan TRCA sebagai tempat percutian luar yang ideal. Udara hutan yang menenangkan dan menyegarkan, air yang jernih, serta pelbagai spesies ikan di Sungai Taliwas menjadikannya destinasi yang sesuai untuk keluarga dan program sekolah. Tempat ini sangat sesuai untuk aktiviti rekreasi luar seperti perkelahan dan perkhemahan, serta pendidikan alam sekitar dan aktiviti pembinaan pasukan. Dengan kepelbagaian flora, tasik yang tenang, dan sungai yang bersih, TRCA menawarkan pengalaman yang menakjubkan kepada pengunjung. Tetamu dapat memerhati pelbagai hidupan liar, termasuk burung, mamalia, dan reptilia, sambil meneroka spesies tumbuhan yang unik. Pada tahun 2022, Kumpulan Yayasan Sabah telah menganjurkan Eksplorasi Saintifik Sungai Taliwas untuk mengkaji kepelbagaian biologi, sumber semula jadi, serta potensi TRCA. Hasil kajian daripada eksplorasi ini akan digunakan untuk merangka pelan strategik yang komprehensif serta memacu inisiatif pemuliharaan yang berterusan di kawasan tersebut. Sepanjang 2023, 83 rondaan telah dijalankan dalam TRCA, terutamanya memfokuskan pada laluan dari TRCA ke pintu KM55. Untuk maklumat lanjut mengenai TRCA, sila layari https://taliwasriver.my
KAWASAN KONSERVASI PESISIRAN PANTAI SILAM - Where the Wildlife of Land and Sea Meet Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam (SCCA) terletak secara strategik di antara Segitiga Karang dan Laut Sulu. Kawasan hutan di pesisiran pantai mengelilingi Teluk Darvel ini merupakan salah sebuah kawasan marin terkaya di dunia daripada segi biodiversiti dan merupakan sebahagian dari kawasan utama Ekorantau Sulu-Sulawesi. SCCA meliputi keluasan 8,167.56 hektar dan terdiri daripada Tumunong Hallu dan Rizab Hutan Bakau Bangkuruan serta dua buah pulau berdekatan iaitu Pulau Tabun dan Pulau Saranga. Sehingga kini, sebanyak 100 spesies pokok telah direkodkan di samping lebih kurang 63 spesies bakau yang mana sebahagiannya jarang ditemui di Malaysia. Penilaian awal hidupan liar telah mendedahkan pelbagai jenis burung pemastautin dan migrasi. Sebanyak 60 spesies burung dan 25 spesies mamalia telah direkodkan. Antara spesies yang terkenal termasuk Kera, Kera Hantu, Kijang, Rusa Unicolour, Belatuk Berjalur, Helang Laut, Burung Berek-Berek, Memerang dan Layang-Layang Pasifik di samping spesies terancam Monyet Belanda. Antara spesies hidupan liar yang telah dikenal pasti ialah burung tempatan dan migrasi. Sebanyak 60 spesies burung telah direkodkan di kawasan ini termasuk 25 spesies mamalia seperti Kera, Kera Hantu, Kijang, Rusa unicolor, Belatuk Berjalur, Helang Laut, Burung Berek-Berek, Memerang dan Layang-Layang Pasifik di samping spesies terancam Monyet Belanda. SCCA dikelilingi dengan pantai yang indah manakala terdapat beberapa bahagian tertentu yang kelilingi pokok-pokok bakau. Dengan ekosistem hutan ultrafamik pergunungan yang berlatarbelakangkan Gunung Silam serta air laut yang bersih dan lokasi yang strategik, menjadikan. SCCA yang terletak hanya 15 kilometer dari bandar Lahad Datu menjadikannya lokasi ideal untuk pendidikan alam sekitar berasaskan marin dan pelbagai aktiviti rekreasi. Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti mendaki, trekking, memerhati burung, snorkeling, berkayak, dan penganjuran acara. Sejak Kumpulan Yayasan Sabah mula menguruskan SCCA pada tahun 2003 sebagai kawasan konservasi, pelbagai perkembangan penting telah dicapai. Antara pencapaian tersebut termasuklah pembinaan Pantai Shell Silam dan Bangunan Penerimaan, kuarters untuk kakitangan dan penyelidik, jeti, pondok rehat, tandas awam, platform pemerhatian, serta tangga bagi aktiviti trekking dan pendakian. Selain itu, SCCA juga telah menubuhkan beberapa laluan, termasuk laluan pantai dan laluan lima puncak. Sepanjang tahun 2023, renjer SCCA telah melaksanakan 15 rondaan dan aktiviti pengawasan yang menyeluruh di dalam SCCA dan kawasan sekitarnya, termasuk sempadan marin kawasan pemuliharaan yang dicadangkan. Selain rondaan ini, kakitangan SCCA juga memantau plot pemuliharaan di Tumunong Hallu untuk memastikan plot tersebut dalam keadaan baik. Pada tahun 2024, Kumpulan Yayasan Sabah dan Preferred by Nature (PbN), Denmark telah menandatangani Memorandum Perjanjian. Kolaborasi ini bertujuan untuk mengembalikan keseimbangan ekologi SCCA melalui inisiatif pemuliharaan hutan, bagi memastikan kawasan ini terpelihara untuk generasi akan datang. Untuk maklumat lanjut mengenai SCCA, sila layari https://silamcoast.my/