Menara Tun Mustapha
Bangunan Indah Tersergam Kekal Abadi
Menara Tun Mustapha Ibu Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah merupakan bangunan yang indah, menarik dan menakjubkan daripada segi konsep. Bangunan 30 tingkat yang dibina daripada aluminium dan kaca ini adalah salah sebuah bangunan yang luar biasa di negara ini.

Bangunan yang dibina mengikut konsep arkitek dan kejuruteraan yang berani ini tidak lepas daripada kesangsian orang ramai akan keupayaan membinanya. Konsepnya merupakan yang pertama dan belum pernah dicuba di rantau ini. Bangunan ini berstruktur poligon 72 penjuru dengan dinding yang diperbuat daripada 2,160 kaca tingkap reflektif khas yang boleh menahan kelajuan angin sehingga 272 kilometer sejam.

Bangunan ini berdiri pada satu batang tiang utama, di mana tiang ini disangkutkan dengan steel radical brackets dan 96 batang logam keluli tahan regang untuk memegang bangunan 30 tingkat ini. Apa yang menakjubkan ialah Menara Tun Mustapha sebuah bangunan pejabat tergantung berkonsep pencakar langit yang keempat di dunia dan menjadi mercu tanda serta tarikan pelancong yang terkenal.

Bangunan pencakar langit ini dilihat seakan-akan sebuah kapal roket besar yang sedia untuk dilancarkan. Ia bukan sahaja mencerminkan sikap ingin maju, malah membayangkan keteguhan Gunung Kinabalu yang boleh dilihat di panel kaca bangunan ini yang menandakan mercu kemegahan negeri Sabah. Dengan jarak 80 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu, bayang-bayang Gunung Kinabalu dapat dilihat pada hari tidak berawan.

Terletak berhadapan Teluk Likas dengan air laut yang membiru dan pantai berbentengkan batu karang serta dihubungkan dengan jalan pantai sejauh 8.3 kilometer ke Bandaraya Kota Kinabalu, bangunan ini diberi persamaan dengan Taj Mahal moden yang berubah warna sepanjang hari bergantung kepada keadaan dan suasana awan, matahari dan warna langit.

Bangunan ini dinamakan Menara Tun Mustapha pada 31 Julai 2001 bersempena dengan Ulang Tahun ke-35 penubuhan Yayasan Sabah, sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan perjuangan Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun, seorang wira dan patriot yang terkenal bukan sahaja di negeri ini bahkan di peringkat antarabangsa kerana inspirasinya untuk menubuhkan Yayasan Sabah yang sehingga hari ini bertindak sebagai pemangkin dalam pendidikan dan pembangunan sosioekonomi negeri ini.

Mengenai
  • Perutusan
  • Pengenalan
  • Struktur Korporat
  • Lembaga Pemegang Amanah
  • Lembaga Pengarah
  • Barisan Pengurusan
  • Ketua Pegawai Maklumat (CIO)
  • Logo Korporat
  • Menara Tun Mustapha
  • Visi / Misi
  • Objektif
  • Peranan
  • Fungsi
  • Nilai-Nilai Teras
  • Pencapaian
Hubungi Kami

+(60) 88 326300
+(60) 88 326424
ysinfo@ysnet.org.my
Menara Tun Mustapha
Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah
Teluk Likas
Peti Surat 11623
88817 Kota Kinabalu
Sabah, MALAYSIA