Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar
Untuk memastikan kelestarian kawasan hutan di bawah jagaannya, Kumpulan Yayasan Sabah telah mengetepikan lima buah kawasan untuk tujuan konservasi iaitu Lembah Danum, Lembangan Maliau, Kanyon Imbak, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas. Kumpulan Yayasan Sabah bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa seperti The Royal Society of United Kingdom dan Nordic Rainforest Research Network (NRRN), Nature Ecology and People Consult (NEPCon, Denmark), Swedish University of Agricultural Sciences (SUAS), New England Power (NEP) Company, USA, Danish Cooperation for Environment and Development (DANCED) dan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia dalam program penyelidikan, pendidikan dan latihan hutan hujan di samping menjalankan program rehabilitasi hutan bersama Face the Future, Belanda dan IKEA, Sweden.

Di dalam negara pula, Kumpulan Yayasan Sabah bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok (FRC), Akademi Sains Malaysia (ASM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), PETRONAS, Shell Malaysia, Raleigh Malaysia dan organisasi-organisasi yang lain.

Penyelidikan gunaan ke atas pengurusan sumber semula jadi dan konservasi kawasan yang dilindungi, dan kawasan-kawasan yang dipulihkan telah banyak dijalankan di samping penambahbaikan dan penggunaan tumbuh-tumbuhan.

Selain daripada penyelidikan, kawasan konservasi ini juga merupakan medan untuk program latihan, pendidikan dan kesedaran alam sekitar.
REHABILITASI HUTAN DAN PENAMBAHBAIKAN TUMBUHAN

Kawasan seluas 25,454.5 hektar telah dipulihkan di bawah Projek Rehabilitasi Hutan Hujan Innoprise-FACE Foundation (INFAPRO) dan Projek Rehabilitasi Hutan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA). Kedua-dua projek ini menjadi model dalam rehabilitasi hutan di rantau ini. Projek ini juga memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan pengalaman serta pembangunanan kapasiti. Kedua-dua projek ini telah menerima akreditasi piawaian antarabangsa.

Projek Rehabilitasi Hutan Hujan Innoprise-FACE (INFAPRO) telah dimeterai pada tahun 1992 di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan FACE (Forests Absorbing Carbon Dioxide Emissions) Foundation, The Netherlands (FACE kini dikenali sebagai FACE-the-Future). Melalui memorandum persefahaman ini objektifnya adalah untuk menanam pokok sebagai agen penyerapan karbon dioksida daripada atmosfera.

Matlamat projek adalah untuk memulihkan 29,501 hektar kawasan hutan yang terganggu dengan spesies dipterokarp, bukan dipterokarp dan spesies buah-buahan. FACE-the-Future juga turut membuat pelaburan yang besar dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan, latihan dan program pembangunan lain bagi mewujudkan teknik untuk aktiviti semaian dan cara penanaman yang sesuai.

Terletak di Hutan Simpan Ulu Segama, di antara Kawasan Konservasi Lembah Danum di Lahad Datu, Sabah, projek ini telah berjaya menjalankan lapan MoU/kontrak dengan lebih daripada 11,824.5 hektar hutan terganggu dipulihkan semenjak penubuhannya.

INFAPRO telah diberi persijilan dengan Voluntary Carbon Standards (VCS) pada 2011 oleh United Nation Intergovernmental Panel on Climate Change (UNIPCC) dan Forest Stewardship Council (FSC) pada 2012. INFAPRO merupakan projek hutan Agriculture, Forestry and Other Land Use, AFOLU VCS yang pertama di Asia. Lebih daripada 15 laporan teknikal dan 35 penerbitan telah dihasilkan dengan sembilan kerja pasca sarjana dilengkapkan.
Projek Rehabilitasi Hutan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA)
Projek INIKEA dimulakan pada tahun 1998 dan merupakan projek di antara Innoprise Corporation Sdn. Bhd., iaitu jentera pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah bersama Sow-A-Seed Foundation, sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh syarikat perabot terkenal iaitu IKEA Sweden. Objektif projek ini adalah untuk meningkatkan biodiversiti dan pada masa yang sama membantu pemulihan secara semula jadi hutan yang musnah akibat kebakaran yang berlaku di antara tahun 1982 dan 1983. Projek ini telah memulihkan lebih daripada 13,630 hektar daripada 19,870 hektar. Usaha ini telah menunjukkan hasil yang baik di mana kini binatang seperti Orang Utan, Bornean gibbon, gajah pigmi Borneo dan burung Kenyalang sering dilihat di kawasan hutan yang telah tumbuh semula. Projek ini telah memasuki fasa keempat di mana kawasan seluas 1,600 hektar akan dipulihkan. Fasa keempat melibatkan kolaborasi untuk tempoh sepuluh tahun (2015-2024) di mana lima tahun pertama adalah untuk fasa pembangunan dan lima tahun berikutnya untuk penyelenggaraan. Melalui projek ini, lebih daripada 35 kajian berkaitan pasca sarjana telah disiapkan.

Standard INIKEA yang tinggi mengenai hak-hak pekerja dan masyarakat serta suasana kerja telah menarik perhatian juruaudit bebas daripada Rainforest Alliance (United States) yang telah menilai prestasi projek di bawah Smartwood Programme.

Projek ini juga telah mencapai satu lagi kejayaan apabila ia telah dianugerahkan Sijil IWAY oleh IKEA pada April 2007. Penganugerahan yang amat berprestij ini merupakan penganugerahan yang dinanti-nantikan oleh mana-mana rakan kongsi IKEA yang mencapai standard yang tinggi dalam isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar, perhutanan dan persekitaran kerja. Piawaian ini sama dengan Standard ISO 1400-1.
BIODIVERSITI DAN KAWASAN PERLINDUNGAN

KAWASAN KONSERVASI LEMBAH DANUM
Kawasan Konservasi Lembah Danum (Danum Valley Conservation Area, DVCA), iaitu Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) dengan keluasan 43,892 hektar merupakan salah satu kubu hutan tanah pamah dipterokarpa yang tidak pernah terganggu. Kawasan ini merupakan salah satu kawasan hutan tanah pamah tropika yang tertua dan terkaya di dunia. Dengan kekayaan dan kemewahan flora dan fauna, ia merupakan makmal semula jadi yang ideal untuk penyelidikan mengenai pemuliharaan dan ekologi hutan tropika. Pusat Luar Lembah Danum (Danum Valley Field Centre, DVFC), merupakan kemudahan saintifik yang terkemuka di dunia ini telah didirikan pada 1986 untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, latihan dan rekreasi alam semula jadi.

DVCA merupakan habitat kepada 122 spesies mamalia termasuk sepuluh spesies primat terancam seperti Orang Utan Borneo. Spesies mamalia lain yang terdapat di DVCA ialah Gajah Pigmi Borneo, Tembadau, Beruang Madu, Harimau Dahan, Kucing Merah, Binturong dan pelbagai spesies Rusa.

Sehingga kini, DVCA telah merekodkan 806 spesies tumbuhan termasuk 15 spesies orkid dan tujuh spesies periuk kera.

Ia juga merupakan habitat bagi 73 reptilia, 56 amfibia dan lebih daripada 47 spesies ikan. Sebanyak 339 spesies burung telah direkodkan termasuk Takor Mahkota Merah, lapan spesies Burung Pacat termasuk Pitta nympha dan kesemua lapan spesies Burung Enggang yang terdapat di Borneo.

Aktiviti di DVCA diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum (Danum Valley Management Committee, DVMC) yang terdiri daripada beberapa buah jabatan/agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, institusi, ahli akademik dan badan-badan bukan kerajaan.

Pada tahun 1984, satu program penyelidikan jangka panjang telah dimulakan di antara Jawatankuasa Pengurusan Lembah Danum dan The Royal Society, United Kingdom di bawah Program Kerjasama Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (South East Asia Rainforest Research Partnership, SEARRP). Pelan Pengurusan Lembah Danum yang bermula dengan kerjasama tersebut juga dimasukkan dalam kerangka Pelan Pengurusan Hutan Jangka Panjang (1984-2032).

Sehingga kini, sebanyak 576 projek penyelidikan telah siap atau sedang dijalankan, di mana majoriti kajian ini ialah kolaborasi di antara saintis dari Malaysia dan luar negara. Hasil penyelidikan tersebut merangkumi Pasca Kedoktoran (166), Doktor Falsafah (185), Sarjana (91), Sarjana Muda (45) dan lain-lain (89).

Kepelbagaian projek penyelidikan yang dijalankan ini menjadikan Lembah Danum sebagai salah sebuah daripada tiga buah pusat penyelidikan hutan hujan yang utama di dunia di samping La Selva di Costa Rica dan Pulau Barro Colorado di Panama.
KAWASAN KONSERVASI LEMBANGAN MALIAU
Kawasan Konservasi Lembangan Maliau (Maliau Basin Conservation Area, MBCA) juga dikenali sebagai Sabah's Lost World merupakan Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) dengan keluasan 58,840 hektar dan merupakan salah sebuah kawasan hutan belantara luar biasa di Malaysia dengan ciri-ciri alam semula jadi yang menakjubkan seperti air terjun tujuh-tingkat Maliau yang gah, air terjun Takob Akob dan Giluk yang indah di samping pelbagai air terjun lain yang mengagumkan.

Terletak di selatan-tengah Sabah, kawasan ekosistem tersendiri ini disalirkan oleh Sungai Maliau yang mengalir dari gaung di kawasan tenggara lembangan tersebut dan seterusnya bertemu dengan Sungai Kuamut. Kawasan ekosistem ini akhirnya membentuk menjadi salah satu hulu Sungai Kinabatangan, yang merupakan laluan sungai terpenting di Sabah. Tasik Linumunsut ialah satu-satunya tasik bukan ladam semula jadi di Sabah terletak di dalam hutan dipterokarpa pamah, di luar dan di kaki cerun utara lembangan ini.

Jenis hutan luar biasa di Lembangan Maliau termasuklah hutan pergunungan dan tanah pamah rendah serta hutan bukit dipterokarpa yang dipenuhi dengan pokok Agathis. Spesies flora di Maliau adalah tersendiri dan pelbagai termasuklah sekurang-kurangnya sepuluh spesies periuk kera, Rafflesia tengku-adlinii, Rhododendron dan lebih daripada 150 spesies orkid yang mana beberapa spesies pokok telah direkodkan buat pertama kalinya di Sabah termasuk orkid berbentuk kalung Coelogyne odoardi dan endemik kepada Borneo. MBCA merupakan khazanah yang berharga sebagai sumber botani. Lebih 1,800 spesies pokok telah ditemui termasuk 41 spesies pokok yang telah disenaraikan dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (The International Union for Conservation of Nature's Red List Threatened Species).

Berserta dengan kawasan persekitarannya, Lembangan Maliau juga merupakan habitat untuk 91 spesies mamalia seperti Tembadau, Harimau Dahan, Gajah Pigmi Borneo dan Monyet Belanda.

Selain daripada itu, lebih daripada 278 spesies burung termasuk 20 spesies endemik kepada Borneo antaranya Burung Bekia, Burung Jambul, Pacat Belang Biru, burung jenis Black-Crowned Pitta dan Pacat Borneo telah direkodkan. Lembangan Maliau juga merupakan habitat kepada lebih daripada 53 spesies amfibia.

Pada tahun 1999, projek kerjasama di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Danish Cooperation for Environment and Development (DANCED) diwujudkan untuk merangka Pelan Pengurusan Strategik Kawasan Konservasi Lembangan Maliau yang pertama. Projek kerjasama ini kemudian diteruskan oleh Danish International Development Assistance (DANIDA). Langkah tersebut telah menjamin aktiviti konservasi di Maliau untuk manfaat negeri Sabah, Malaysia dan komuniti antarabangsa selain daripada merancang pembinaan Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau (Maliau Basin Studies Centre, MBSC). Aktiviti penyelidikan/lapangan projek ini telah menghasilkan 57 Laporan Bantuan Teknikal di bawah projek DANCED/DANIDA.

Pusat ini menyediakan kemudahan kepada penyelidik, pelawat serta staf Lembangan Maliau. Kemudahan penginapan asas yang terdiri dari stesen penyelidikan/kem satelit, kawasan perkhemahan lengkap dengan semua kemudahan boleh didapati di sepanjang laluan kembara Agathis, Nepenthes, Ginseng dan Seraya yang terletak di dalam dan di pinggir MBCA.

IKEA, Sweden juga menyumbang dana untuk aktiviti konservasi dan pendidikan alam sekitar di MBCA sejak tahun 1998. Melalui dana tersebut, sebuah kompleks pendidikan alam sekitar termasuk kemudahan seperti asrama, bilik darjah dengan kemudahan makmal serta stesen penyelidikan, jambatan gantung, menara pemerhatian dan Maliau Skybridge telah dibina untuk memudahkan aktiviti penyelidikan dan pendidikan di MBCA. IKEA juga membiayai program-program pendidikan alam sekitar untuk sekolah-sekolah di sekitar MBCA.

Keunikan dan kekayaan biodiversiti Lembangan Maliau, dikelilingi dengan zon penampan dan kemudahan yang lengkap menjadikan MBCA sebagai lokasi yang sesuai untuk program-program latihan untuk pengurusan kawasan perlindungan.

Antara aktiviti penyelidikan di Maliau termasuklah projek The Stability of Altered Forest Ecosystems (SAFE), kerjasama antara Yayasan Sime Darby dan The Royal Society, United Kingdom di bawah Program Kerjasama Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (South East Asia Rainforest Research Partnership, SEARRP) dan aktiviti penyelidikan lain dengan kerjasama pelbagai institusi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sehingga kini, lebih daripada 345 kerja penyelidikan telah dilaksanakan yang terdiri daripada Pasca-Kedoktoran (63), Doktor Falsafah (87), Sarjana (101) dan Sarjana Muda (31) dan lain-lain (63).

Pengurusan harian MBCA dikendalikan oleh Kumpulan Yayasan Sabah bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Maliau yang merangkumi Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, UMS dan pelbagai agensi kerajaan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.maliaubasin.org
KAWASAN KONSERVASI KANYON IMBAK
Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (Imbak Canyon Conservation Area, ICCA) terletak di utara Lembangan Maliau dan berkeluasan lebih kurang 27,599 hektar yang merangkumi lembah sepanjang 25 kilometer. Kawasan ini berkemungkinan merupakan hutan pamah dipterokarpa dara yang terbesar di Sabah dan dikelilingi oleh rabung batu pasir yang tinggi.

Kebanyakan puncak rabung tersebut melebihi 1,000 meter dengan puncak tertinggi mencapai 1,527 meter. Terdapat juga banyak air terjun yang indah di ICCA, termasuk Air Terjun Imbak yang mempunyai kelebaran 30 meter

ICCA mempunyai pelbagai jenis hutan. Antaranya, hutan pamah dipterokarpa dan hutan kerangas pergunungan rendah yang jarang ditemui, yang merupakan versi altitud lebih rendah berbanding hutan kerangas di Lembangan Maliau, bagaikan berada dalam dunia ajaib khusus dengan pepohon yang kecil, periuk kera dan pelbagai orkid.

Kawasan ini kaya dengan flora dan fauna, termasuk tumbuhan ubatan. Kanyon Imbak merupakan kawasan penting bank gen untuk tujuan konservasi dan rehabilitasi hutan pada masa hadapan. Sebagai hutan asli, ICCA juga merupakan komponen penting dalam koridor biodiversiti yang menghubungkan Lembangan Maliau di selatan dan Lembah Danum di timur. Kawasan ini juga merupakan salah sebuah hulu sungai bagi sungai terpanjang di Sabah iaitu Sungai Kinabatangan.

Kanyon Imbak berbeza dengan Lembah Danum dan Lembangan Maliau di mana terdapat masyarakat yang tinggal bersebelahan dengan kawasan ini dengan kampung terdekat iaitu Kg. Imbak terletak lebih kurang 30 kilometer dari ICCA. Majoriti masyarakat di sekitar ICCA merupakan daripada kumpulan etnik Sungai diikuti dengan Murut dan Rumanau.

Jalinan kerjasama di antara Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS yang bermula pada tahun 2010 bertujuan membangunkan kawasan ini sebagai pusat pembelajaran asas masyarakat setempat dalam pemuliharaan biodiversiti di samping sebagai pemuliharaan bank gen serta penerokaan potensi farmaseutikal dan bioteknologi.

Melalui kolaborasi tersebut, lapan program dilaksanakan iaitu Pendidikan Alam Sekitar, Kesedaran Awam, Jalinan Komuniti, Penyelidikan, Kajian Etno Perhutanan dan Dokumentasi, Pengukuhan Keupayaan Kapasiti, formulasi Pelan Pengurusan Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang pertama dan pembinaan Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak.

Pada 2009, ICCA dinaiktaraf sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) oleh Dewan Undangan Negeri Sabah. Pengurusan harian ICCA dilaksanakan oleh Kumpulan Yayasan Sabah bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Kanyon Imbak yang merangkumi Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan pelbagai agensi kerajaan.

ICCA dibangunkan untuk tujuan bank gen di samping menjaga kualiti sistem sungai di negeri ini. Nilai biodiversiti hutan (terutama botani) atas tanah yang biasa dan ekologi tanah yang terhad juga merupakan antara kepentingan bagi melindungi ICCA. Ini digambarkan oleh penemuan spesies keruing, Dipterocarpus megacarpa pada tahun 1992.

Kanyon Imbak kaya dengan biodiversiti tumbuhan dengan lebih daripada 600 spesies telah direkodkan sehingga kini. Jumlah ini dijangka akan meningkat dengan ketara melalui ekspedisi dan penyelidikan yang dilaksanakan pada masa depan. ICCA mencatatkan 81 spesies mamalia termasuk Harimau Dahan, Kucing Batu, Kucing Dahan, Monyet Belanda dan Gajah Pigmi Borneo.

Di samping itu, terdapat 26 spesies haiwan yang tersenarai dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (The International Union for Conservation of Nature's Red List Threatened Species) telah ditemui di kawasan ini. ICCA juga merupakan habitat kepada 245 spesies burung. Koleksi ini merangkumi campuran spesies montane dan tanah pamah termasuk lima spesies burung endemik kepada Borneo, enam spesies Burung Pacat, kesemua lapan spesies Burung Enggang yang terdapat di Borneo dan 20 spesies Burung Sambar.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, terdapat banyak spesies hidupan liar yang terdapat di Kanyon Imbak menjadikannya tempat perlindungan hidupan liar dan sesuai untuk kajian hidupan liar. Ia juga merupakan rumah bagi 22 spesies ikan dan 155 spesies amfibia.

Sehingga kini, sebanyak 67 kajian telah disiapkan dan sedang dilaksanakan di ICCA, merangkumi Pasca Kedoktoran (3), Doktor Falsafah (6), Sarjana (10), Sarjana Muda (37) dan lain-lain (11).

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.imbakcanyon-borneo.com.my
KAWASAN KONSERVASI PESISIRAN PANTAI SILAM
Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam (Silam Coast Conservation Area, SCCA) terletak secara strategik di antara Segitiga Terumbu Karang dan Laut Sulu. Kawasan hutan di pesisiran pantai mengelilingi Teluk Darvel ini merupakan salah sebuah kawasan marin terkaya di dunia daripada segi biodiversiti dan merupakan sebahagian dari kawasan utama Ekorantau Sulu-Sulawesi.

Kawasan ini merupakan Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) berkeluasan lebih kurang 2,770 hektar dan terdiri daripada Tumunong Hallu dan Rizab Hutan Bakau Bangkuruan serta dua buah pulau berdekatan iaitu Pulau Tabun dan Pulau Saranga.

Sehingga kini, sebanyak 138 spesies pokok telah direkodkan termasuk Vatica pauciflora, yang mungkin merupakan satu rekod baru bagi Sabah di samping lebih kurang 63 spesies bakau yang mana sebahagiannya jarang ditemui di Malaysia.

Antara spesies hidupan liar yang telah dikenal pasti ialah burung tempatan dan migrasi. Sebanyak 60 spesies burung telah direkodkan di kawasan ini termasuk 25 spesies mamalia seperti Kera, Kera Hantu, Kijang, Rusa unicolor, Belatuk Berjalur, Helang Laut, Burung Berek-Berek, Memerang dan Layang-Layang Pasifik di samping spesies terancam Monyet Belanda.

SCCA dikelilingi dengan pantai yang indah manakala terdapat beberapa bahagian tertentu yang kelilingi pokok-pokok bakau. Dengan ekosistem hutan ultrafamik pergunungan yang berlatarbelakangkan Gunung Silam serta air laut yang bersih dan lokasi yang strategik, serta hanya 15 kilometer dari Pekan Lahad Datu, SCCA sesuai untuk aktiviti rekreasi dan pendidikan alam sekitar yang berkaitan dengan hidupan marin.

Kumpulan Yayasan Sabah dan Shell Malaysia telah menjalin kerjasama dalam pembinaan Bangunan Resepsi dan Informasi SHELL di SCCA.
KAWASAN KONSERVASI SUNGAI TALIWAS
Kawasan Konservasi Sungai Taliwas (Taliwas River Conservation Area, TRCA) yang sebelum ini dikenali sebagai Kem Taliwas oleh Jabatan Perhutanan Sabah terletak lebih kurang 36 kilometer dari pekan Lahad Datu atau 24 kilometer dari barat Silam dan 45 kilometer dari timur Kawasan Konservasi Lembah Danum.

TRCA meliputi kawasan hutan ultramafik dan tanah pamah yang unik seluas 9,546 hektar. Pada pertengahan tahun 1970-an hingga 1980-an, sebahagian daripada kawasan dalam lingkungan TRCA telah dipulihkan sama ada dengan teknik agro perhutanan atau rawatan silvikultur melalui penggelangan dan tanaman mengaya oleh Jabatan Perhutanan Sabah sebelum pengurusannya diserahkan kepada Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun 1991.

TRCA juga merupakan salah sebuah kawasan terawal yang dipulihkan secara silvikultur dan diperkaya dengan dipterokarpa. Kawasan ini diuruskan oleh Kumpulan Yayasan Sabah untuk tujuan penyelidikan, pendidikan, latihan dan ekopelancongan. Pada tahun 2012, kawasan ini telah dinaiktaraf sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).

Trek ke Air Terjun Taliwas yang mudah diterokai, udara yang bersih dan air sungai yang jernih dan dilengkapi dengan beberapa buah prasarana asas menjadikan TRCA sebagai kawasan yang sesuai untuk aktiviti rekreasi bersama keluarga, program sekolah dan pencinta alam sekitar (perkelahan dan perkhemahan). Ketika ini, TRCA dilengkapi dengan infrastruktur asas rekreasi. TRCA juga mempunyai tasik yang cantik iaitu Tasik Pandan yang sering dikunjungi pelbagai spesies burung, mamalia dan reptilia.
PENDIDIKAN ALAM SEKITAR

Kumpulan Yayasan Sabah mula terlibat dalam Pendidikan Alam Sekitar sejak tahun 1988 lagi dengan penubuhan Kelab Pencinta Alam Sabah (SNC). Kelab ini ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah dalam mempromosi kesedaran dan pendidikan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah. Dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti pendidikan alam sekitar seperti Kursus Orientasi Alam Sekitar, Kursus Pembangunan Lestari bagi para pemimpin komuniti dan ceramah-ceramah di seluruh Sabah buat ahli-ahIinya, SNC menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut di kawasan-kawasan konservasi seperti Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak di samping beberapa buah kawasan pemuliharaan.

Keahlian SNC terbuka kepada para pelajar dan guru di sekolah-sekolah rendah dan menengah serta di insitusi-institusi pengajian tinggi di Sabah. SNC juga menawarkan keahlian "Rakan SNC" buat orang awam. Sejak ia ditubuhkan, SNC mempunyai lebih daripada 43,000 orang ahli yang berdaftar. Pelawat juga boleh mengambil bahagian dalam program-program pendidikan dan kesedaran alam sekitar yang diadakan di kawasan-kawasan konservasi dan pemuliharaan tersebut.
HOSPITALITI DAN REKREASI

Para pelawat yang berkunjung ke kawasan-kawasan konservasi Kumpulan Yayasan Sabah berpeluang untuk menikmati sendiri keindahan kawasan perhutanan dalam keadaannya yang telah dipulihkan dan tidak terganggu serta dikelilingi dengan keunikan serta kepelbagaian flora dan fauna. Aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan oleh para pelawat ialah meredah hutan dan melihat air terjun (termasuklah Air Terjun 7-tingkat Maliau atau Air Terjun Imbak yang lebarnya 80 kaki), mendengar sendiri simfoni hutan pada waktu-waktu yang berbeza, memerhati burung, melihat mamalia, berenang di sungai, mengambil gambar alam semula jadi atau hanya melihat pokok-pokok besar dan pemandangan menakjubkan kanopi hutan hujan tropika.

Selain daripada menyediakan penginapan dan kemudahan yang berkaitan kepada para penyelidik, pusat pembelajaran di Lembah Danum, Lembangan Maliau, Kanyon Imbak, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas di samping kemudahan yang terdapat di INIKEA dan INFAPRO turut menawarkan beberapa jenis penginapan untuk pelawat seperti rumah rehat, asrama dan tapak perkhemahan. Kemudahan lain termasuklah bilik persidangan, teater mini, kompleks pendidikan alam sekitar dan galeri alam semula jadi.
Aktiviti

Sosial

  • Aktiviti Zon
  • Pembangunan Kapasiti
  • Pendidikan
  • Perkembangan Kanak-Kanak
  • Kolej Teknikal Yayasan Sabah
  • University College Sabah Foundation
  • Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens
  • Galeri Tun Mustapha
  • Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Komersial

  • Innoprise Corporation Sdn. Bhd.
  • Pelancongan
  • MICE
  • Agroperladangan
  • Perhutanan
  • Bioteknologi dan Hortikultur
  • Perikanan dan Industri Makanan
  • Pembangunan Hartanah
  • Minyak, Gas & Tenaga
  • Perkilangan

Tanggungjawab Sosial Korporat

  • Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar
Hubungi Kami

+(60) 88 326300
+(60) 88 326424
ysinfo@ysnet.org.my
Menara Tun Mustapha
Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah
Teluk Likas
Peti Surat 11623
88817 Kota Kinabalu
Sabah, MALAYSIA