Berdasarkan arahan daripada Ketua Setiausaha Negara pada 22 Mac 2000 yang menyatakan
bahawa "agensi Sektor Awam perlu menamakan seorang Ketua Pegawai Maklumat (CIO)
dalam kalangan pengurusan atas".
Ketua Pegawai Maklumat (CIO)
CIO adalah seorang pegawai eksekutif di dalam sebuah organisasi yang bertanggungjawab
dalam pengurusan, pelaksanaan dan kebolehgunaan teknologi maklumat dan sistem
komputer. Oleh kerana perkembangan teknologi semakin meningkat dan membentuk
semula industri secara global, kini populariti dan pengaruh seorang CIO adalah menjadi
keperluan di setiap jabatan atau organisasi. CIO menganalisis bagaimana pelbagai teknologi
memberi manfaat kepada sebuah organisasi serta menambah baik proses sedia ada dan
kemudian menyepadukan sistem tersebut untuk merealisasikan visi, misi dan matlamat
organisasi.
Peranan dan tanggungjawab CIO adalah seperti berikut:
- Melaksanakan penggunaan dasar, standard dan amalan terbaik ICT
- Menerima pakai dan melaksanakan penggunaan ICT dalam Sistem Penyampaian
Organisasi
- Melaksanakan inovasi melalui aplikasi, infrastruktur dan keselamatan ICT
- Memastikan keperluan keselamatan ICT dilaksanakan dan dikuatkuasa
- Menyelaras dan mengurus pelan latihan dan program kesedaran keselamatan ICT
seperti hebahan serta pengurusan risiko dan pengauditan
- Bertanggungjawab ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan ICT
- Mengawasi hubungan dengan vendor, kontraktor dan penyedia perkhidmatan
- Jurucakap kepada Pengurusan Tertinggi dan Ketua-Ketua Bahagian tentang faedah
dan risiko terhadap projek berkaitan ICT.
Kesimpulan
Pewujudan CIO merupakan komitmen sesebuah organisasi dalam memastikan semua
aktiviti pembangunan ICT dapat diselaraskan dan disepadukan. CIO di peringkat organisasi
berperanan sebagai peneraju dalam merancang, melaksana dan memantau program/aktiviti
berasaskan ICT yang dapat memudahkan lagi pelanggan berurusan dengan organisasi.