Pembangunan Kapasiti

Pusat Kraftangan Sabah (PKS) di Keningau telah menjadi mercu tanda bagi pembangunan industri kraf tangan di negeri ini. Inisiatif ini merupakan komitmen berterusan Kumpulan Yayasan Sabah dalam membangunkan masyarakat luar bandar di negeri Sabah bagi menjana pendapatan mereka dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

Fungsi utama PKS adalah untuk membangunkan warisan kraf tangan etnik di negeri ini selain menjadi pusat pengumpulan kraf tangan, latihan, pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan kraf tangan. PKS juga bertindak sebagai rakan usaha sama dalam pembangunan dan promosi kraf tangan di dalam dan luar negara serta menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan konsep 'Satu Daerah Satu Industri'.

Dengan pembinaan kompleks bernilai RM30 juta ini, peluang pekerjaan dan limpahan peluang ekonomi telah diwujudkan terutamanya di kawasan luar bandar. Tiga aspek pembangunan yang ditekankan oleh PKS ialah Pengurusan Kraf tangan dan Kepimpinan Keusahawanan, Reka Bentuk Kraf dan Aplikasi Mesin, serta Pembangunan Seni.

Kumpulan Yayasan Sabah juga turut bekerjasama dengan pereka kraf tangan yang berpotensi untuk meletakkan PKS di barisan hadapan dalam pembangunan kraf tangan di negeri ini. Menerusi kerjasama tersebut, para belia didedahkan dengan ilmu pengetahuan dalam menghasilkan batik yang berkualiti tinggi.

Sejak penubuhannya, PKS telah mewujudkan platform yang teguh di pasaran bagi menjadikan ia jenama yang berdaya saing. Pada tahun 2014, PKS telah mendapat pengiktirafan Malaysia Good Design Mark oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) yang mana merupakan pengiktirafan tertinggi untuk reka bentuk dan keluaran produk yang berkualiti. Melalui syarikat pemasarannya, Kristal Handal Sdn. Bhd. (KHSB), PKS merupakan satu-satunya pengeluar batik yang diiktiraf di Sabah dan antara 51 pengusaha batik di negara ini yang menerima pengiktirafan Batik Malaysia MS 692: 2007 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada November 2015.

Sehingga kini, lebih daripada 20,000 orang telah mendapat manfaat daripada program-program kraf tangan yang dianjurkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah melalui Pejabat-pejabat Zon dan PKS sendiri.

PKS bergerak selangkah ke hadapan lagi dengan penubuhan Galleria Artisan. Bilik pameran dan kedai jualan ini merupakan cabang pemasaran PKS yang beroperasi di Menara Tun Mustapha. Galleria ini memaparkan konsep kraf dan seni yang mengagumkan, sebagai suatu usaha untuk pengalaman konvensional dan kontemporari.

Galleria Artisan ini telah dirasmikan pada 9 Mei 2016 sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Sabah. PKS melancarkan buku pertama yang mendokumenkan produk kraf dan seni bertajuk, 'Sabah Crafts' pada tahun 2016. Pada 6 Februari 2018, Galleria Artisan, menerima Sijil Pengiktirafan Akreditasi Perniagaan Saksama Dalam Pelancongan (Kraftangan dan Cenderakenangan) dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada majlis yang diadakan di Teater Tun Hamdan, Menara Tun Mustapha sebagai pengiktirafan kepada syarikat perniagaan atau perkhidmatan pelancongan yang mengamalkan aspek akauntabiliti dan kesaksamaan dalam perniagaan.

Pada 24 Mac 2018 Pusat Kraftangan Sabah (PKS) mengukir nama dalam Malaysia Book of Records dengan menghasilkan 2,583.8 meter panjang batik lukis/canting tangan terpanjang di Malaysia. PKS bekerjasama dengan enam buah sekolah iaitu SM St. Francis Xavier Keningau, SMK Gunsanad, SMK Gunsanad 2, SMJK Ken Hwa, SMK Keningau bersama Kolej Vokasional Keningau, Persatuan Seni Visual Sabah, Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Sejak mula beroperasi pada tahun 2012, PKS melalui KHSB telah mewujudkan dua outlet pemasaran kraf tangan bagi memasarkan hasil kraf tangan bekas pelatih PKS dan usahawan-usahawan kraf tangan iaitu Gambus Retails Shop di PKS, Keningau dan Galleria Artisan di Menara Tun Mustapha (MTM), Kota Kinabalu. Outlet ini juga adalah merupakan platform terbaik bagi usahawan kraf luar bandar yang mempunyai aneka produk premium untuk memasarkan hasil kraf tangan masing-masing. Sebelum ini, PKS dan Kristal Handal Sdn. Bhd. telah berjaya melonjakkan ramai usahawan kraf tangan baharu dan produk dihasilkan adalah setanding dengan pengusaha yang sudah lama menapak dalam industri ini.

Pembukaan outlet pemasaran ketiga di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) memberi limpahan manfaat kepada lebih kurang 100 orang usahawan kraf dalam memasarkan produk-produk mereka. Keluasan galeri tersebut ialah 704.20 m2 yang mana akan mempamerkan dan menjual produk-produk kraf tangan bekas pelatih PKS, para artisan dan karya lukisan pelukis-pelukis tempatan selain memberi peluang pelukis untuk menjadi Artis Residen di PPNS untuk tempoh dua bulan dalam satu-satu masa.

Outlet tersebut dibahagikan kepada tiga (3) bahagian utama iaitu, bahagian hasil kraf tangan (210 m2) yang dikategorikan kepada pelbagai jenis kraf mengikut jenis bahannya seperti rotan, bambu, kelarai, serdang, pandan, kulit kayu, manik, mutiara dan lain-lain lagi. Bahagian kedua pula ialah bahagian batik dengan keluasan sebanyak 292.2 m2 menempatkan dua kategori batik wanita dan lelaki. Bahagian terakhir ialah bahagian seni halus lukisan seluas 185 m2 yang juga turut menempatkan kawasan artis residen (16 m2) untuk pelukis membuat demonstrasi lukisan dan kraf.

Waktu beroperasi bagi outlet tersebut ialah hari Isnin hingga Jumaat, dari 8:00 pagi hingga 5:00 petang. Jika terdapat permintaan untuk lanjutan waktu beroperasi ataupun lawatan khas, sila hubungi kami.

Kursus di Pusat Kraftangan Sabah
  1. Batik Tekstil boleh didapati di Galleria Artisan (Tenunan Dastar, Sulaman/Menjahit Kotak, Hadiah dan Folder)
  2. Hasil Rimba (Ukiran Kayu, Pembuatan Perabot dan Anyaman Buluh, Rotan Dan Ribu-Ribu)
  3. Hasil berasaskan tanah (Seramik dan Hydrostone)

Waktu operasi
Outlet Kedai Gambus
Pusat Kraftangan Sabah, Keningau
Galleria Artisan
Menara Tun Mustapha,
Kota Kinabalu
Galleria Artisan
Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, Kota Kinabalu
Lokasi Outlet 1
GAMBUS RETAIL SHOP

KM 5, Jalan Apin-Apin,
Peti Surat 104,
89007 Keningau,
Sabah, Malaysia.
Outlet 2
GALLERIA ARTISAN

Menara Tun Mustapha,
Peti Surat 11201, Teluk Likas,
88817 Kota Kinabalu,
Sabah, Malaysia.
Outlet 3
GALLERIA ARTISAN

Aras Bawah Blok A,
Pusat Pentadbiran Negeri Sabah,
Jalan Sulaman, Teluk Likas,
Kota Kinabalu, Sabah.
Waktu Operasi Isnin - Jumaat:
8.30 pagi - 5.30 petang
Sabtu: 9.00 pagi - 4.00 petang
Ahad: 9.00 pagi - 12.00 petang
Cuti Umum: Tutup
Isnin - Jumaat:
8.00 pagi - 5.00 petang
Sabtu: 9.00 pagi - 4.00 petang
Ahad: 9.00 pagi - 12.00 petang
Cuti Umum: Tutup
Isnin - Jumaat:
8.00 pagi - 5.00 petang
Sabtu: Tutup
Ahad: Tutup
Cuti Umum: Tutup
Aktiviti

Sosial

  • Aktiviti Zon
  • Pembangunan Kapasiti
  • Pendidikan
  • Perkembangan Kanak-Kanak
  • Kolej Teknikal Yayasan Sabah
  • University College Sabah Foundation
  • Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens
  • Galeri Tun Mustapha
  • Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Komersial

  • Innoprise Corporation Sdn. Bhd.
  • Pelancongan
  • MICE
  • Perladangan
  • Perhutanan
  • Bioteknologi dan Hortikultur
  • Perikanan
  • Pembangunan Hartanah
  • Minyak, Gas & Tenaga
  • Pengangkutan
  • Perkilangan
  • Syarikat Luar Negara

Tanggungjawab Sosial Korporat

  • Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar
Hubungi Kami

+(60) 88 326300
+(60) 88 326424
ysinfo@ysnet.org.my
Menara Tun Mustapha
Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah
Teluk Likas
Peti Surat 11623
88817 Kota Kinabalu
Sabah, MALAYSIA